Luahan Sayu Menyentuh Hati Bapa Nur Athirah Selepas Anaknya Menipu Seluruh Rakyat Malaysia


Luahan Sayu Menyentuh Hati Bapa Nur Athirah Selepas Anaknya Menipu Seluruh Rakyat Malaysia
Ayah mana yang tak sedihkan bila dapat tahu anak dia buat macam ni. Bila baca luahan hati ayah dia ni, rasa kesian pula. Sama-samalah kita maafkan Nur Athirah ni.


“Baik atau buruk dia tetap anak saya, darah daging saya.”

Itu luahan Abdul Majid Landu, 40, yang menyatakan rasa kesal serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan tindakan anaknya, Nur Amirah Atirah Abdul Majid, 14, yang didakwa berbohong dengan menyatakan telah diculik dua lelaki India di Klang, Ahad lalu. 

 Abdul Majid ketika dihubungi tidak menyangka anaknya itu sanggup berbuat demikian selain meminta semua pihak dapat memaafkan anaknya itu yang disifatkan masih mentah serta tidak berfikir secara matang. 

 Sebagai bapa katanya, beliau sudah tentu khuatir serta takut akan keselamatan anaknya berdasarkan perbualan telefon Nur Amirah Atirah yang meminta bantuan kakak angkatnya, Noor Fazila Misnan, 23, dengan mendakwa dia telah culik seperti yang tersebar di media-media sosial sebelum ini. 

 “Maka sebab itu saya buat laporan polis. Mendengar suara anak saya (Nur Amirah Atirah) meminta tolong daripada kakak angkatnya menerusi perbualan telefon itu... hati siapa yang tidak rasa bimbang, lebih-lebih lagi saya sebagai bapanya. 

 “Bagaimanapun, saya sendiri tidak sangka dia sanggup buat begitu kepada saya sekeluarga. Saya faham tindakannya telah menyusahkan banyak pihak, namun saya berharap masyarakat tidak menghukum atas ketidakmatangannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. 

 Dalam pada itu, Abdul Majid tidak menolak kemungkinan menghantar anaknya itu ke pusat pemulihan akhlak dan berharap perkara seumpama itu tidak lagi berulang. 

 “Perkara (hantar ke pusat pemulihan akhlak) itu biarlah dahulu, nanti saya akan fikirkan. Biarlah perkara ini reda dahulu dan hari ini pun dia ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan,” jelasnya yang tidak menyatakan secara terperinci mengenai pemeriksaan tersebut. 

 Ahad lalu, Nur Amirah Atirah mendakwa telah diculik oleh dua lelaki India di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, dekat sini apabila rakaman perbualan telefon remaja itu meminta tolong kakak angkatnya tersebar menerusi media-media sosial. 

Lebih membimbangkan gadis itu turut mendakwa telah dilarikan dalam sebuah van berwarna putih dan dalam perjalanan untuk dijual di negara jiran. 

Bagaimanapun tembelang remaja yang dipercayai mempunyai masalah pembelajaran itu terbongkar selepas dia akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat bersama teman lelakinya kira-kira pukul 10 malam, Khamis lalu di sebuah stesen minyak di Kanchong Darat, Banting. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat ketika dihubungi hari ini berkata, sehingga kini hanya dua suspek iaitu teman lelaki remaja terbabit serta seorang lagi lelaki berusia 45 tahun ditahan berhubung kes itu. 

“Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Selasa depan,” katanya yang turut yakin tiada lagi suspek lain akan ditahan.

Luahan Sayu Menyentuh Hati Bapa Nur Athirah Selepas Anaknya Menipu Seluruh Rakyat Malaysia Luahan Sayu Menyentuh Hati Bapa Nur Athirah Selepas Anaknya Menipu Seluruh Rakyat Malaysia Reviewed by AAA on 20:42:00 Rating: 5
Powered by Blogger.